PETALING JAYA – Suasana pusat beli-belah di sekitar Lembah Klang, Melawati Mall dan Wangsa Walk Mall, agak lengang tanpa kehadiran orang ramai semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kelmarin.
Hasil tinjauan Kosmo! mendapati, hanya premis yang menjual makanan dan minuman serta pasar raya keperluan harian dalam pusat beli-belah sahaja dibuka.
Setiap premis tersebut juga patuh kepada segala prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan dengan hanya membungkus makanan tanpa boleh makan berhidang selain mengimbas masuk dan memeriksa suhu badan.
Sementara itu, pekerja premis, Muhammad Aizat Din, 32, berkata, ini menunjukkan orang ramai patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.
“Rakyat sentiasa patuh kepada SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi memerangi penularan wabak Covid-19.
“Ia satu petanda bagus dan saya percaya kita mampu lakukannya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Bagaimanapun, dia menjelaskan, premisnya serba sedikit menerima impak tanpa kehadiran orang ramai.
“Kedai saya agak terkesan. Kalau dahulu boleh dapat untung bersih sehingga ratusan ringgit sehari tetapi tidak pada musim PKP ini.
“Namun, jika PKP merupakan jalan penyelesaian terbaik bagi menangani wabak tersebut daripada terus merebak, jadi tidak mengapalah, apa yang penting semua orang menjalankan tanggungjawab mereka untuk patuhi SOP,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelayan restoran, Izzati Roslan, 21, berkata, dia amat kagumi usaha bersama rakyat dalam memerangi penularan wabak Covid-19.
“Jika boleh dilihat, di dalam dan sekitar pusat beli-belah hampir kosong tanpa kehadiran orang ramai. Cuma penghantar makanan sahaja yang ada untuk hantar makanan kepada pelanggan.
“Ini membuktikan kita patuh kepada arahan yang telah ditetapkan kerajaan. Saya berharap PKP ini tidak terlalu lama dan kes wabak Covid-19 dapat direndahkan kepada seminimum yang mungkin dan kami boleh berniaga kembali,” katanya. -K! ONLINE