fbpx

PKP 2.0 jadi penentu ‘kemerdekaan’ rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
RIDZAUDDIN ROSLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

Bagaimana reaksi rakyat apabila angka jangkitan akibat Covid-19 mencecah empat angka pada ketika ini?

Adakah mereka gerun de­ngan angka itu atau ia sudah jadi seakan norma baharu.

Sejujurnya, penulis berasa takut dengan angka tersebut namun tidaklah segerun dahulu.

Jika diimbas, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan Mac lalu, apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengumumkan angka positif, perasaan begitu takut walaupun hanya 100 orang dijangkiti.

Berbeza dengan sekarang, pe­rasaan itu mungkin sedikit pudar. Bukan mahu menyalahkan sesiapa, malah penulis juga sama, kadang-kadang alpa, lupa semua.

Konsepnya, jika sikap sambil lewa terus diamalkan de­ngan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) mungkin kita akan kekal terkurung tahun ini dan sukar merasai nikmat ‘kemerdekaan’.

Suku ketiga tahun lalu, kita hampir mencapai nikmat merdeka, dengan sifar kes dicatatkan, namun kita alpa dan lupa, mungkin terlalu mahu kuasa, kes kembali meningkat hingga empat ­angka.

Dr. Noor Hisham sebelum ini turut mendedahkan peningkatan secara mendadak kematian Covid-19 selepas pelaporan kes harian virus tersebut yang mencatatkan angka empat digit setiap hari.

“Bagi tempoh sembilan bulan pertama pada tahun 2020, kes kematian kurang daripada 100 orang, namun pada tahun ini, dalam tempoh sembilan hari sahaja, Malaysia mencatatkan sebanyak 71 kes kematian,”
katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap kemampuan sistem kesihatan yang dikhuatiri tidak dapat menampung pertambahan pesakit.

Katanya, jumlah kes aktif de­ngan kebolehjangkitan Covid-19 ketika ini mencecah 27,000 kes sekali gus melebihi kapasiti maksimum Kementerian Kesihatan dalam mengendalikan 23,000 kes positif virus itu.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr. Hanafiah Bashirun menjelaskan, pelaksa­naan PKP 2.0 selama dua minggu bakal menjadi penentu kepada status Covid-19 negara ini.

“Dalam tempoh itu, kalau semua SOP dipatuhi, angka jangkitan harian dapat kita kurangkan, namun untuk melandaikannya mungkin mengambil masa.

“Asasnya, semua di tangan rakyat. Kita perlu mengubah mentaliti terhadap virus itu, SOP perlu kekal dijaga seperti pemakaian pelitup muka dan jarak fizikal,” ujarnya.

Jelasnya, rakyat juga perlu lebih berdisiplin kelak selepas PKP dihentikan dan digantikan dengan Perintah Kawalan Perge­rakan Bersyarat dan sebagainya.

“Ketika itu, kerajaan mungkin membenarkan rentas negeri dan pelbagai lagi kelonggaran lain. Ambillah iktibar daripada apa berlaku sebelum ini dan jangan terlalu ghairah untuk bergerak ke sana sini.

“Walaupun boleh rentas ne­geri, jika tidak ada keperluan penting, kekal berada di rumah masing-masing, hal bercuti kita henti dulu sehingga keadaan kembali pulih,” rayunya.

Semuanya terletak di tangan kita sebagai rakyat. Jika 2021 mahu dibazirkan masanya se­perti 2020, marilah kita berpesta dan jika sebaliknya, kekal jaga SOP dan kita mesti menang menentang Covid-19. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI