IPOH – Seorang pemotong rumput dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menghalang tugas dan mencederakan seorang anggota polis di Buntong Selasa lalu.
Tertuduh, P. Subramaniam, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus.
Mengikut pertuduhan, Subramaniam didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu Sarjan Mohd. Zainudin Mohd. Jidin daripada menjalankan tugas dengan enggan menunjukkan kad pengenalan semasa diminta ketika pemeriksaan.
Lelaki itu turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada anggota polis terbabit dengan memukul kepala Mohd. Zainudin menggunakan topi keledar.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 3.15 petang di kawasan Jalan Sungai Pari berhampiran Flat Harmoni di Buntong dekat sini pada 12 Januari lalu.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Pertuduhan kedua dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, K. Darinee manakala tertuduh diwakili peguam, Ranjit Singh.
Ketika rayuan untuk mengurangkan jaminan, Ranjit memberitahu tertuduh yang bekerja sebagai pemotong rumput di sebuah sekolah di Manjoi mempunyai tanggungan seorang isteri dan empat anak dengan pendapatan bulanan RM1,200.
Ranjit berkata, tertuduh akan membuat laporan polis ke atas penjawat awam terbabit yang didakwanya tidak berpakaian seragam polis ketika meminta kad pengenalannya semasa pemeriksaan.
Difahamkan, laporan polis tersebut akan dilakukan sebaik sahaja tertuduh selesai diberi jamin.
Mahkamah menetap jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin untuk dua pertuduhan dan menetapkan 18 Februari ini untuk kes itu disebut semula. -K! ONLINE