GUA MUSANG – Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Bihai di sini mengambil inisiatif mereka sendiri dengan membaiki jalan dan jambatan yang rosak akibat musim tengkujuh yang melanda kawasan itu baru-baru ini.
Penghulu Pos Bihai, Alang Segan berkata, penduduk kampung sudah biasa membaiki sendiri jalan perhubungan mereka itu selepas hujan mulai reda di kawasan itu.
Katanya, dalam tempoh sebulan ini, sudah empat kali mereka terputus hubungan akibat hujan lebat dan tidak dapat melalui jalan balak.
“Terbaharu, jalan balak rosak teruk pada Isnin lalu selepas hujan lebat sehingga menyebabkan penduduk terputus hubungan dan tidak boleh keluar ke bandar untuk membeli barang makanan.
“Selain membuat jambatan sementara menggunakan kayu hutan dan buluh, penduduk juga terpaksa mengambil langkah menutup jalan berlubang supaya mudah dilalui,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli, Aros Anek, 36, pula berkata, sebelum ini, pernah berlaku tiga kejadian jambatan kayu runtuh akibat banjir lumpur.
Katanya, penduduk mengambil masa lebih 10 hari untuk membina semula jambatan kayu itu secara gotong-royong menggunakan kayu hutan.
“Kini, satu daripada tiga jambatan kayu terbabit runtuh semula. Kita perlu membinanya semula dalam masa terdekat ini kerana berdepan masalah perhubungan.
“Sebagai penduduk Orang Asli di Pos Bihai dan kampung lain berhampiran, mereka sudah biasa apabila membaiki jambatan yang runtuh itu,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah, Muhamad Yusrizal Ghani berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian jalan rosak.
Katanya, antara penduduk Orang Asli yang terputus jalan perhubungan setiap kali musim tengkujuh ialah di Pos Bihai, Pos Belatim, Pos Tohoi dan Pos Simpor. -K! ONLINE