fbpx

Operasi cari lelaki jatuh longkang giat dijalankan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZMI OSMAN (kiri) menunjukkan longkang di mana seorang lelaki terjatuh setelah motosikal ditunggangnya terbabas di Lebuh Persiaran Klebang 11 dekat Chemor, Ipoh hari ini.

IPOH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang di Lebuh Persiaran Klebang 11 dekat Chemor di sini semalam, diteruskan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam ketika hujan lebat itu, mangsa, Ahmad Amin Ismail, 58, difahamkan terjatuh ke dalam longkang di bahu jalan setelah motosikal jenis Yamaha Ego S yang ditunggangnya terbabas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, pihaknya memberi tumpuan pencarian di dua kawasan perangkap sampah yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa terjatuh.

Katanya, dalam operasi tersebut juga, kaedah pemunggahan turut dilakukan di sepanjang tebing Sungai Klebang yang dipenuhi pokok dan semak tebal.

“Pihak bomba menerima maklumat kejadian pada pukul 7.39 malam tadi yang memaklumkan seorang lelaki terjatuh ke dalam longkang dengan kedalaman hampir dua meter.

“Ketika kejadian, paras air longkang tersebut tinggi dan deras dengan mangsa dipercayai dihanyutkan arus,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut Azmi, seramai 16 anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh digerakkan ke lokasi kejadian bagi mencari mangsa dengan dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) dari Kuala Lumpur.

Katanya, anggota dari BBP Pasir Puteh juga telah diminta menyusur sepanjang Sungai Kinta bagi mencari mangsa.

“Pemerhatian hari ini mendapati keadaan air sungai cetek dan kita percaya mangsa tiada di laluan sepanjang longkang dan telah dibawa arus lebih jauh.

“Oleh itu, operasi ditumpukan kepada dua perangkap sampah dengan radius pencarian diperluaskan sehingga 10 kilometer sehingga ke Sungai Kinta,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI