SIAPA sangka dalam meniti usia 37 tahun, penyanyi popular Siti Nordiana terus melakar pelbagai kejayaan dalam bidang seni.
Bertitik tolak daripada kemenangan menerusi Gegar Vaganza musim kedua (GV2) pada 2015, graf kerjaya Siti Nordiana atau mesra disapa Nana terus mencanak naik sehingga meletakkan dirinya di kelas tersendiri.
Lebih membanggakan, setiap lagu dan drama lakonan penyanyi itu berjaya mencetuskan fenomena dan diangkat untuk memenangi anugerah. Itulah aura yang dimiliki Nana sehingga kini.
Selepas kejayaan single Satukan Rasa bersama penyanyi Khai Bahar, terbaharu Nana muncul dengan single duet terbaharu bersama penyanyi yang juga rakan baiknya, Nubhan Ahamad berjudul Sekali Lagi.
Lagu ciptaan sepenuhnya Sepet dan Nana tersebut menampilkan genre pop balada, sementara melodi yang diketengahkan segar sesuai dengan pasaran muzik masa kini.
Menariknya, lagu terbitan syarikat Seventeen Eleven Music berkenaan dilancarkan serentak dengan sebuah siri mini sebanyak tiga episod bermula 4 Januari lalu pukul 9 malam dalam saluran YouTube Seventeen Eleven Music.
Sementara episod kedua pada 11 Januari lalu dan diikuti episod ketiga yang turut menayangkan video muzik rasmi lagu Sekali Lagi pada 18 Januari ini.
Nana berkata, idea penghasilan siri mini terbit atas permintaan peminat selepas terlebih dahulu menerbitkan naskhah serupa untuk video muzik lagu Angkara tahun lalu.
“Ramai peminat minta konsep macam video muzik Angkara. Disebabkan mereka sudah lama tidak menonton lakonan saya dalam televisyen, jadi mereka buat permintaan untuk video muzik terbaharu ini dibuat dengan konsep sama.
“Bagi saya konsep ini sangat menarik, sekali gus dapat mengubat kerinduan peminat. Sekurang-kurangnya, tidak dapat tengok saya berlakon dalam televisyen, menerusi video muzik pun okey.
Dapat juga saya lepaskan rindu dalam lakonan,” katanya.
Cuba menampilkan kelainan menerusi siri mini dan video muzik Sekali Lagi, Nana turut bertindak selaku penulis skrip dan jalan cerita.
Nana juga terbabit secara langsung ketika proses suntingan dilakukan.
“Kalau dahulu saya hanya berlakon dalam video muzik. Tetapi, untuk video muzik kali ini saya berperanan sebagai penulis. Biarpun berbeza pengarah iaitu Atmin Mazid, tapi dia akan bertanya kepada saya secara keseluruhan apa yang ingin disampaikan. Begitu juga ketika proses suntingan, mereka akan tanya saya.
“Pendek kata, projek kali ini sangat istimewa. Ini satu permulaan yang bagus dalam kerjaya saya. Pada masa sama, dapat mempelajari perkara baharu terutama kerja di belakang tabir.
“Dalam video muzik ini juga saya melakonkan watak wanita yang menjengkelkan. Banyak momen yang dipaparkan membuatkan penonton berasa geram. Semua ini bagi disesuaikan dengan lirik yang dihasilkan,” katanya.
Berkongsi mengenai pemilihan rakan baiknya Nubhan, Nana berkata, bekas bintang Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu mempunyai kualiti vokal yang bersesuaian dengan lagu yang dihasilkan.
“Bagi saya Nubhan memiliki vokal yang sangat sesuai dengan lagu ini. Saya memang mencari penyanyi lelaki yang bersuara serak. Jadi, karakter vokal Nubhan ada ciri tersebut. Lagi pun, sudah lama tidak mendengar dia menyanyi dan muncul dengan lagu baharu.
“Apabila saya usulkan tawaran ini, dia kata okey selain mahu menjadikan single duet kami sebagai kesempatan untuk membuat kemunculan semula dalam bidang nyanyian.
Paling penting, Nubhan ada keunikan vokal yang jarang ada dalam negara kita. Jadi saya ingin ketengahkannya dalam lagu ini sekali gus menyuntik warna berbeza,” katanya.
Menurut Nana, Nubhan ialah pilihan tepat selain kualiti vokalnya dipersetujui beberapa guru vokal lain.
“Sebelum merakamkan lagu dan mencari pasangan duet, saya minta Nubhan dengar terlebih dahulu dan minta dia nyanyikan sedikit. Apabila mendengar nyanyian, semua cakap sesuai. Malah ketika saya perdengarkan kepada guru vokal, mereka juga bersetuju.
“Sejujurnya, dia memang pilihan pertama saya. Tidak tahu macam mana boleh terfikir dia. Kiranya selepas merakamkan lagu ini pada Oktober tahun lalu dan mendengarkan hasilnya, saya dapat apa yang dimahukan,” tuturnya.
Menurut Nana, lagu Sekali Lagi memiliki melodi mesra pendengar.
“Muzik lagu ini sangat segar. Kali pertama Sepet perdengarkan kepada saya, ada bahagian dalam lagu ini terus menangkap telinga dan jiwa saya. Itu yang membuatkan saya tertarik untuk menyiapkan lagu ini.
“Jadi, saya berharap pendengar juga akan dapat merasai perkara sama. Dengar Sekali Lagi terus jatuh cinta. Saya tidak sabar menantikan reaksi dan maklum balas peminat. Semoga lagu ini akan berjaya dan pergi lebih jauh,” katanya.