PARIS – Bintang Paris Saint-Germain, Neymar semakin hampir untuk menandatangani kontrak baharu yang lumayan bersama pasukan itu.
Neymar ketika ini menerima pendapatan sebanyak £600,000 (RM3.3 juta) seminggu dan kontrak berkenaan bakal tamat pada musim panas 2022 dan dikaitkan dengan kepulangan ke Barcelona.
Namun, spekulasi tersebut mungkin berakhir sekiranya PSG tampil dengan tawaran kontrak baharu yang lebih mewah untuk memastikan pemain antarabangsa Brazil itu terus kekal di Parc des Princes.
Laporan menyebut, hubungan Neymar dan pengarah sukan kelab itu, Leonardo semakin akrab selepas mereka melalui tempoh yang agak tegang pada musim 2019.
PSG juga dilaporkan mahu segera menyelesaikan urusan dengan Neymar sebelum mengubah fokus untuk rundingan bersama seorang lagi bintang mereka, Kylian Mbappe yang sedang diburu oleh Real Madrid.
Perkembangan semasa sedikit melegakan PSG apabila kesungguhan Barcelona untuk mendapatkan khidmat Neymar semakin kendur ekoran berdepan masalah kewangan akibat pandemik Covid-19.
Setakat ini, Neymar sudah membuat 12 penampilan musim ini bersama PSG dan menjaringkan sembilan gol bersama lima umpanan gol tetapi kecederaan buku lali menyebabkan dia terpaksa diketepikan sejak penghujung bulan lalu tetapi sudah kembali memperkuatkan pasukan itu.
– AGENSI