fbpx

Jue bahagia jadi ibu, seronok promosi Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JULIANA EVANS

BERGELAR seorang ibu merupakan kurniaan terbahagia Tuhan buat wanita di dunia ini. Itulah yang berulang-kali terbit daripada bibir Che Puan Juliana Evans ketika berbicara tentang kehidupannya ketika ini.

Kebahagiaan tersebut juga terpancar pada wajah Juliana yang mesra disapa sebagai Jue tatkala berkongsi pengalamannya sebagai seorang ibu.

Dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah yang kini berusia dua tahun, Jue memberitahu anak merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai dalam hidupnya.

Mengakui status sebagai isteri dan ibu banyak mengubah dirinya, Jue juga menyifatkan kehidupannya banyak berubah berbanding dahulu.

Jelas wanita berdarah kacukan Melayu Inggeris itu, perubahan tersebut bukan sahaja tentang rutin kehidupan tetapi tahap kematangan dalam diri.

“Selepas berkahwin, bersalin dan sehingga hari ini, saya dapat rasakan segala tindak-tanduk serta pemikiran semakin matang.

“Kehidupan saya juga sangat berbeza dan kini saya semakin bahagia dengan perkahwinan, keluarga dan kerjaya diceburi walaupun tidak seaktif dahulu,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

BERGELAR isteri kepada kerabat diraja Selangor, Jue tetap menerima tawaran berlakon dan mengacara biarpun tidak seaktif dahulu.

Anak

Berkongsi lanjut tentang kehidupannya sebagai ibu, pelakon yang pernah terkenal menerusi drama Kami itu bersyukur kerana dapat melihat anaknya membesar depan mata.

“Biarpun bekerja, saya tidaklah terlalu sibuk. Jadi, saya dapat lihat anak membesar dan itu juga saya anggap satu anugerah untuk diri sendiri.

“Setakat ini, saya tak pernah tinggalkan anak lama-lama, paling lama pun, lima hari sahaja sebab saya habiskan penggambaran untuk kempen pelancongan bersama Tourism Selangor, Pusing Selangor Dulu,” ujar isteri kepada Tengku Shariffudin Shah Tengku Shah Al-Hajj itu.

Pada usia yang sudah mencecah 32 tahun, Jue lebih tenang bersama keluarga berbanding pada awal usia 20-an.

“Saya sangat sukakan fasa ini yang setiap sudutnya termasuk perkahwinan mahupun kerjaya semuanya berjalan dengan baik.

“Kadang-kadang rasa tidak percaya saya sudah memiliki seorang anak. Aturan Allah SWT memang cantik.

“Bila tengok anak aktif setiap hari, umpama ada kejutan untuk saya. Dia pun dah mula bercakap dan berlari-lari. Jadi, saya sekarang memang menikmati pengalaman sebagai ibu,” ujarnya.

JUE bakal muncul dengan telefilem berjudul Air Mata Biru dan Instafamous.

Duta pelancongan

Dilahirkan di Shah Aalm dan pernah mewakili negeri kelahirannya untuk acara suka gimnastik satu ketika dahulu sudah cukup melayakkan Jue terpilih sebagai duta pelancongan Selangor.

Jue yang dilantik sebagai duta kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu baru-baru ini sangat bangga dengan pemilihan tersebut kerana merasakan jiwanya sangat dekat dengan negeri kelahirannya.

“Sebagai anak jati Selangor, tahap kecintaan saya terhadap negeri ini memang sangat besar.

“Jadi apabila dpilih menjadi duta, memang teruja kerana berpeluang meneroka banyak lokasi yang tidak pernah saya kunjungi di Selangor,” tuturnya.

Katanya, setiap individu pasti memiliki sifat patriotik dan sayangkan negeri kelahiran mereka.

SEBAGAI anak jati Selangor, tahap kecintaan Juliana kepada negeri itu memang sangat besar. Jadi apabila dipilih menjadi duta, dia memang teruja kerana berpeluang meneroka banyak lokasi yang tidak pernah dikunjungi di Selangor selama ini.

“Perasaan teruja ini sebenarnya lebih kepada sifat patriotik yang sukar untuk diluahkan secara fizikal.

Jadi dengan mandat yang diberikan, ini peluang untuk saya menabur bakti buat negeri kelahiran sendiri.

“Tugas ini sangat seronok sebab dapat melakukan pelbagai aktiviti di banyak lokasi.

“Antara lokasi yang paling saya gemar adalah sawah padi di Sekinchan, rasa tenang sepanjang berada di sana,” katanya lagi.
Disoal tentang kerjaya seninya, aktres filem Hantu Bonceng berkata, dia masih aktif berlakon dan mengacara.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya hanya berada di rumah tetapi selepas kerajaan benarkan penggambaran dimulakan semula, saya mula aktif berlakon untuk beberapa telefilem.

“Antara yang bakal muncul ialah telefilem Air Mata Biru dan Instafamous.

“Selain itu, saya juga baru saja mengacarakan program bual bicara berjudul Hey Doc yang membincangkan perihal kesihatan dan isu berkaitan belia,” tutupnya.

JULIANA EVANS (tiga dari kiri) sewaktu majlis pengumuman sebagai duta kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu, baru-baru ini. – ZULFADLI ZAKI
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI