PENYERANG baharu UiTM FC, Khairul Izuan Rosli berharap saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini mampu membawa tuah buatnya selepas menyertai pasukan itu dari Kelantan United.
Pemain berusia 30 tahun itu menyuarakan rasa syukur serta gembira apabila khidmatnya disambar skuad The Lion Troops meskipun tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan musim lalu.
Justeru, dia sedia membalas kepercayaan yang ditunjukkan barisan kejurulatihan, selain memberikan segala-galanya untuk kembali ke zaman kemuncaknya.
“Saya sangat bersyukur kerana dapat mewakili UiTM FC bagi saingan musim ini. Semua orang tahu UiTM adalah antara pasukan yang beraksi cukup cemerlang musim lalu, jadi saya mungkin berdepan cabaran sukar.
“Sebelum ini, saya kerap juga diturunkan dalam skuad utama ketika bersama Kelantan United, namun segala-galanya tergendala gara-gara pandemik Covid-19,” katanya.
Pada masa sama, Izuan yang pernah menjulang gelaran trebel bersama Kelantan pada tahun 2012 mengakui prestasinya terumbang-ambing selepas keluar dari pasukan itu dengan menyertai beberapa pasukan lain.
Selepas meninggalkan The Red Warriors (TRW) pada 2017, Izuan sudah menyarung jersi Negeri Sembilan, Terengganu FC dan Kelantan United, namun masih belum mampu menampilkan aksi sama ketika bersama Kelantan.
“Saya akui selepas keluar daripada pasukan Kelantan, sukar untuk temui rentak permainan tetapi saya bersyukur kerana masih ada pasukan yang mahukan saya. Sudah tentu saya akan kerja lebih keras untuk kembali mencipta nama,” ujarnya.
Anak jati Kota Bharu itu antara nama baharu yang menyertai UiTM FC musim ini termasuk Khairul Asyraf Sahizah, Mohd. Alif Najmi, Mohd. Khairul Rizam Che Soh, Dirga Surdi, Muhammad Farid Nezal, Muhammad Hardee Shamsuri dan Mohd Fauzi Latiff.