BEREGU lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin meneruskan aksi cemerlang pada kejohanan badminton Terbuka Thailand di Bangkok apabila melangkah ke peringkat suku akhir.
Gandingan yang berada di ranking ke-15 dunia itu tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan beregu Amerika Syarikat (AS), Phillip Chew-Ryan Chew menerusi aksi straight-set 21-12, 21-17 pada pusingan kedua semalam.
Yew Sin mengakui mereka sudah semakin hampir menemui rentak sebenar meskipun bermula dengan agak perlahan pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 itu.
“Saya percaya kami sudah semakin hampir untuk mendapat rentak sebenar selepas mengharungi dua perlawanan pada kejohanan ini. Saya akui prestasi agak tidak stabil sebelum datang ke sini.
“Pada pusingan pertama semalam (kelmarin), saya dapat rasakan permainan kami masih belum capai standard, lebih-lebih lagi bertemu beregu seperti itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengulas aksi suku akhir menentang pilihan keenam dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin hari ini, pemain berusia 26 tahun itu sedia untuk menganalisis permainan gandingan tersebut.
“Ya, sudah tentu kami akan tengok serta menilai permainan mereka bagi mengesan apa kekuatan serta kelemahan yang ada. Selepas itu, kami akan bincang mengenai strategi yang akan digunakan esok (hari ini).
“Saya harap kami boleh bermain seperti biasa kerana hari ini (semalam) kami dapat kurangkan kesilapan mudah dalam permainan. Kami akan cuba sedaya upaya untuk layak ke peringkat seterusnya,” ujarnya lagi.
Mengiringi Ee Yi-Yew Sin ke suku akhir hari ini adalah beregu lelaki serta beregu campuran profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia.