fbpx

Cabaran besar SIC anjur MotoGP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penganjuran MotoGP di SIC belum pasti dapat dilakukan sekiranya pelaksanaan PKP terus berlanjutan.

TAHUN 2021 pasti memberi cabaran besar kepada semua industri permotoran negara termasuk Litar Antarabangsa Sepang (SIC) apatah lagi mengharungi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan peningkatan kes pandemik Covid-19 di dalam negara.

Sekiranya PKP berlanjutan, ia sudah pasti memberi kesan serta kerugian besar kepada SIC memandangkan mereka akan menganjurkan perlumbaan antarabangsa seperti Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada 31 Oktober depan.

Pada tahun 2019, SIC mencatat sejarah tersendiri apabila merekodkan lebih 100,000 penonton menyaksikan perlumbaan MotoGP, namun tahun ini tidak pasti sama ada saingan tersebut dapat dianjurkan atau perlu mengikuti norma baharu.

Apa tidaknya, saingan Formula Satu (F1) yang sepatutnya berlangsung bagi Grand Prix (GP) Australia dan GP China pada Mac nanti telah ditangguhkan susulan kes Covid-19 semakin membimbangkan.

AZHAN SHAFRIMAN

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya telah membuat beberapa perancangan tahun ini bermula dengan gelembung sukan untuk peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Jelasnya, sekiranya pandemik Covid-19 ini terus berlarutan, pihaknya berharap dapat keluar secepat mungkin daripada pelaksanaan PKP.

“Jika kita dapat beralih kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), maka SIC akan mene­rapkan penggunaan SOP baharu bagi sukan permotoran sebagai usaha meneruskan program semula seperti biasa.

“Justeru, kita sangat berharap kes jangkitan Covid-19 terus menurun dan secara tidak langsung memberi peluang kepada SIC beroperasi semula,” katanya pada sidang video semalam.

Dalam pada itu, Azhan Shafriman memberitahu, pihak SIC perlu melihat situasi semasa terlebih dahulu sebelum memikirkan mengenai penganjuran ­saingan MotoGP.

Jelasnya, jika pada September dan Oktober ada perubahan dan mungkin bergerak keluar daripada pelaksanaan PKP, maka pihaknya akan membentangkan SOP baharu bagi menganjurkan MotoGP.

Bagaimanapun katanya, jika situasi tidak memihak bahkan gagal menunjukkan sebarang perkembangan positif, pihak­nya mungkin akan melakukan perbincangan lanjut sama ada penganjuran diteruskan atau dibatalkan.

“Buat masa ini, keputusan masih tergantung dan saya harap keadaan bertambah baik dari semasa ke semasa agar perlumbaan MotoGP dapat dianjurkan dan SIC kembali beroperasi ­dengan jayanya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI