fbpx

Wanita Thailand bawa rokok seludup ditahan di SJR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Cubaan seorang wanita warga Thailand menyeludup 105 kotak rokok untuk dipasarkan di kedai runcit miliknya terkubur apabila ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) Mobil Covid-19 di Jalan Pangkor di sini malam tadi.

Peniaga berusia 38 tahun itu ditahan anggota dari Balai Polis Pulau Tikus selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dipandunya dilihat dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil pemeriksaan telah menemui satu kotak yang mengandungi 105 kotak rokok seludup pelbagai jenama di tempat duduk penumpang belakang.

“Semasa ditahan, wanita tersebut mendakwa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Pinang dari kedai runcit miliknya di Tanjong Tokong. Jarak dua lokasi terbabit adalah kira-kira empat kilometer.

“Suspek juga mengaku barang kes yang dibelinya itu untuk dijual di kedai runcit tersebut pada harga RM7.50 dan RM11.50 sekotak,” katanya di sini hari ini.

Soffian memberitahu, jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak 2,100 batang rokok dengan nilai RM 2,250. Turut dirampas adalah sebuah kereta yang didaftarkan atas nama suaminya.

Jelas beliau lagi, suspek kini ditahan reman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI