PETALING JAYA – Penerbit drama terkenal, Sheila Rusly menerima kecaman apabila berkongsi promosi pemakaian veneer yang didakwa tiruan oleh netizen melalui beberapa hantaran status dalam Instagram miliknya.
Bagaimanapun, Sheila yang juga isteri kepada pengarah dan penerbit, Azman Yahya atau lebih dikenali sebagai Jinggo sudah membuang status berkenaan daripada Instagram miliknya.
“Sis tetap senyum walaupun akan terkurung dua minggu. Adakah ini dugaan atau kepentingan?”, tulis Sheila, 49.
Tindakan penerbit dan pelakon drama rantaian, Bukan Gadis Biasa itu tidak disenangi netizen yang mempersoalkan kewajarannya.
“Memang patutlah industri perfileman Malaysia rupa begitu sahaja. Jangan cakap drama medikal setanding Korea kalau pengarah pun pergi buat veneer tiruan konon 6d diamond whitening.
“Mempromosikan ini kepada 2.7 juta pengikutnya, macam manalah kami ini tidak letih,” luah seorang pengguna Twitter.
Seorang netizen lain pula tampil mempertahankan tindakan Sheila dengan menciap: ” Mungkin dia tak tahu kot itu veneer tiruan. Yang original tak berkilau macam itu, bukan?”
Difahamkan, anggaran kos pemasangan veneer asli adalah serendah RM180 ke RM1,800, bergantung kepada jenis venier yang digunakan.
Bagaimanapun, harga veneer tiruan juga tidak kurang mahalnya. Harga yang ditawarkan adalah antara RM1,100 hingga RM2,200 bagi 16 batang gigi.
Antara jenis veneer yang ditawarkan di klinik-klinik gigi adalah porselin, komposit, palatal, lumineer dan venier tidak kekal. – K! ONLINE