KUALA LUMPUR – MIDF Research menurunkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia tahun ini kepada 6.2 peratus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) yang bermula semalam.
Menurut firma penyelidikan ekonomi itu dalam nota kajiannya, pelaksanaan PKP di enam negeri selama dua minggu dan PKP Bersyarat (PKPB) di enam lagi negeri kecuali Perlis serta Sarawak boleh menyebabkan penguncupan KDNK sebanyak 0.8 mata peratusan.
“Dalam erti kata lain, ia akan membuatkan pertumbuhan ekonomi negara menjadi lebih perlahan tahun ini kepada kadar 6.2 peratus berbanding unjuran asal kami iaitu pertumbuhan tujuh
peratus tahun ke tahun.
“Secara keseluruhan, semua negeri yang terlibat dengan PKP dan PKPB menyumbang hampir 90 peratus daripada KDNK, namun pelaksanaannya dilihat kurang ketat berbanding PKP
tahun lalu kerana sektor ekonomi penting seperti pembuatan, pembinaan, perdagangan dan pengedaran dibenarkan beroperasi,” katanya.
Sementara itu, MIDF Research berkata, Proklamasi Darurat yang dilaksanakan hingga 1 Ogos depan dijangka tidak memberi impak negatif terhadap pertumbuhan KDNK didorong oleh pembukaan aktiviti ekonomi seperti biasa.
Mengulas lanjut, pihaknya tetap optimis dengan prospek pertumbuhan tahun ini memandangkan keadaan ekonomi bertambah baik walaupun berhadapan penurunan jangka pendek.
Firma berkenaan turut menjangkakan pemulihan ekonomi yang didorong permintaan dalam negeri dan disokong oleh perbelanjaan kerajaan menerusi peruntukan perbelanjaan pembangunan
tertinggi dalam sejarah dalam Belanjawan 2021.
“Walaupun begitu, kami menyedari risiko kemerosotan jangka pendek seperti peningkatan penularan kes Covid-19 global dan kualiti aset perbankan negara susulan berakhirnya tempoh
moratorium pembiayaan.
“Kami turut mengekalkan sasaran FBM KLCI akhir tahun pada kadar 1,700 mata berdasarkan kepada prospek semasa,” katanya.