BENAR kata pepatah, kalau sudah jodoh pasti tidak ke mana. Begitu juga sebaliknya boleh berlaku.
Itu situasi yang paling dekat untuk menggambarkan nasib yang menimpa pelakon berwajah putih mulus, Lia Natalia apabila cintanya tidak kesampaian dan putus di tengah jalan.
Hampir setahun mengenali hati budi antara satu sama lain termasuk persiapan rapi meniti alam pernikahan, takdir berkata sebaliknya untuk Lia.
Bersua dengan pemilik nama sebenar Alia Afiqah Abden, 29, perwatakan dan caranya yang selamba seolah-olah langsung tidak menunjukkan dirinya sedang dirundung lara.
Senyuman manis yang terukir diselang-seli dengan gelak tawa bersama rakan media saat ditemu ramah baru-baru ini sesekali melenyapkan seketika perasaan suram yang bersarang dalam hati.
“Saya pun tidak tahu bagaimana untuk luahkan. Mungkin jodoh sampai setakat ini sahaja. Lagipun saya reda atas apa yang berlaku.
“Keputusan ini pun saya sendiri yang lakukan. Setelah bertenang dan fikir masak-masak dibantu keluarga yang cukup memahami, saya nekad noktahkan hubungan kami,” tutur Lia meluah rasa.
Akui pelakon kelahiran Tawau, Sabah itu, perkara yang berlaku dijadikan pengajaran agar nanti dirinya lebih berhati-hati sebelum mengenali seseorang.
Orang ketiga
Diasak dengan soalan apakah yang menjadi punca utama dirinya tekad memutuskan hubungan cinta sekali gus membatalkan majlis perkahwinannya yang sepatutnya berlangsung Disember lalu, Lia ada sebab tersendiri.
Dedahnya, kewujudan orang ketiga dalam hubungan mereka menjadi sebab utama dia berubah hati dan mengundurkan diri daripada terus memendam rasa.
“Betul orang kata, bercinta atau berkahwin selama mana pun, kalau ada orang ketiga, pasti hubungan akan retak dan musnah.
“Perkara sama juga berlaku pada diri saya. Kalau mahu cakap soal curang, ya memang benar dia curang. Saya tahu segalanya tetapi disebabkan sayang, saya butakan mata dan beri dia peluang.
“Bukan sekali dua tetapi sudah banyak kali peluang diberikan kepadanya. Belum berkahwin sudah berperangai sebegitu, macam mana selepas nikah nanti agaknya,” katanya dalam nada sedikit serius.
Tambah Lia yang popular menerusi wataknya sebagai jururawat dalam drama Bukan Wanita Biasa, keputusan yang diambilnya sangat tepat daripada terus membiarkan hatinya sakit dan menyesal di kemudian hari.
Berkenaan kerugian sebanyak RM50,000 yang terpaksa ditanggung atas pembatalan majlis perkahwinannya pada saat akhir, Lia enggan ambil pusing dan menerima apa yang berlaku sebagai hikmah terbaik buat dirinya
Berdamai dengan takdir, pelakon filem Pinjamkan Hatiku itu enggan lagi menoleh ke belakang dan mahu menumpukan perhatian terhadap diri sendiri.
Projek 2021
Tutup cerita perihal ‘pelamin anganku musnah’, wanita berzodiak Scorpio itu memberitahu, 2021 mahu dijadikan sebagai waktu untuk dirinya lebih bersinar dalam kerjaya seni yang dicintai.
Ujar finalis program Pilih Kasih musim kedua itu lagi, tahun baharu ini akan dijalaninya sebaik mungkin dengan perkara-perkara positif khasnya melibatkan kerjaya.
“Insya-Allah untuk 2021, banyak projek baharu termasuk lokonan yang akan saya jalani seperti drama dan telefilem.
“Selain itu, saya juga ingin fokus dalam bidang perniagaan produk kosmetik sebagai pendapatan sampingan,” tuturnya yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran bagi drama Diva Popular arahan Erma Fatima.
Lia juga akan memulakan penggambaran drama 40 episod berjudul Cukup Derita Itu arahan sutradara Along Kamaludin yang akan disiarkan Ramadan nanti.