COX’S BAZAR, Bangladesh – Lebih 2,000 pelarian Rohingya di sebuah kem di Bangladesh hilang tempat tinggal selepas satu kebakaran memusnahkan lebih 500 buah kediaman pada awal pagi tadi, menurut pihak berkuasa.
Tiada kematian dilaporkan tetapi sekurang-kurangnya 10 orang cedera semasa mereka cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi (waktu tempatan) di kem Nayapara, kata pesuruhjaya pelarian Bangladesh, Rezwan Hayat.
“Rumah-rumah itu diperbuat daripada tin dan buluh. Kami segera membekalkan makanan panas dan buluh serta tarpaulin kepada mereka yang terjejas untuk pembinaan semula kediaman mereka,” jelasnya.
Beliau menyatakan satu tong gas memasak, banyak digunakan di kem itu, dipercayai menyebabkan kebakaran berlaku.
Nayapara yang terletak di tenggara Bangladesh merupakan tempat tinggal berpuluh ribu pelarian Rohingya yang berasal dari Myanmar, termasuk mereka yang tinggal di kem itu sejak tahun 1990-an.
Pengarah Save the Children di Bangladesh, Onno van Manen menyifatkan kebakaran itu satu lagi tamparan kepada masyarakat Rohingya yang telah hidup dalam kesengsaraan sejak bertahun-tahun lamanya. – AFP