PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
KKM dalam satu kenyataan media berkata, laporan dua portal berita mengaitkan gambar Timbalan Menteri Kesihatan 1 menerima kunjungan sekumpulan individu di pejabatnya dengan pelanggaran arahan PKP adalah tidak benar.
“Gambar kunjungan tersebut pada 12 Januari 2021 iaitu sehari sebelum pelaksanaan PKP.
“Oleh itu Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan 1 memohon portal terbabit menarik balik tuduhan, dakwaan dan maklumat tidak benar terbabit dengan segera,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut KKM, dakwaan tidak benar tersebut boleh memberi persepsi buruk masyarakat terhadap Timbalan Menteri 1 dan juga KKM.
Kata KKM, Salah sebuah portal berita tersebut melaporkan berita bertajuk “Timbalan Menteri Kesihatan Langgar PKP lagi?” pada 13 Januari 2021.
Tambah KKM, sebuah lagi portal berita terlibat melaporkan berita bertajuk “Timbalan menteri kesihatan padam gambar lepas disyaki ingkar prosedur operasi standard (SOP)”. – K! ONLINE