KOTA KINABALU – Kementerian Kerja Raya Sabah akan mengambil tindakan segera membaiki jalan serta jambatan runtuh ekoran banjir di beberapa daerah di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Dato Sri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya sudah menerima laporan dari Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai semua kejadian berkaitan.
“Jurutera JKR daerah di kawasan-kawasan yang terlibat dengan masalah ini juga sudah turun padang memantau serta memberikan laporan teperinci mengenai kerosakan dialami.
“Keadaan cuaca tidak menantu sejak beberapa hari lalu di Sabah khususnya hujan lebat yang berterusan mengakibatkan banjir berlaku.
“Ia menjadi punca banyak jalan runtuh termasuklah jambatan terutamanya di daerah Pitas, Kota Marudu dan Beluran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, antara kejadian tanah dan jambatan runtuh yang dilaporkan berlaku di daerah Pitas termasuklah kilometer 53.05 Jalan Langkon-Pitas, kilometer 1.7 Jalan Maringgan, kilometer 0.25 Jalan Suang Duyung-Layak-Layak dan kilometer 4.25 Jalan Suang Duyung-Layak-Layak.
Bung Moktar menyatakan kerja pembersihan sudah dilaksanakan bagi kes jalan runtuh yang tidak teruk.
Menurut beliau, tindakan sama turut dibuat bagi semua jalan di bawah seliaan kontraktor atau syarikat yang mendapat konsisi penyelenggaraan.
Sementara itu, beliau berkata, kes jalan serta jambatan runtuh yang memerlukan kos pembaikan tinggi, ia akan dinilai bagi menentukan anggaran kos pembaikan dan bakal dilaksanakan segara untuk memastikan sistem perhubungan penduduk terlibat tidak terjejas. – K! ONLINE