KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah, Eco World Development Group Bhd. (EcoWorld Malaysia) memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan penggabungan dengan UEM Sunrise Bhd. (UEMS).
Pengerusinya, Tan Sri Liew Kee Sin berkata, keputusan itu diambil selepas perbincangan mengenainya dibuat bersama UEMS bulan ini, selain penelitian oleh Lembaga Pengarah syarikat dengan mengambil kira rancangan perniagaan dan persekitaran mencabar selepas pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami berbesar hati dengan jemputan UEM Group Bhd. untuk mempertimbangkan cadangan penggabungan dan pengiktirafan mereka terhadap kebolehan EcoWorld Malaysia sebagai rakan penggabungan berpotensi seperti dinyatakan dalam surat bertarikh 2 Oktober 2020.
“Pemberhentian rundingan membenarkan kami secara aktif meneruskan usaha untuk cadangan korporat lain, yang mungkin lebih melengkapi rancangan dan strategi pertumbuhan kami sekarang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Mengulas lanjut, Kee Sin berkata, langkah itu juga membolehkan pihaknya fokus kepada rancangan perniagaan Kumpulan bagi tahun kewangan 2021, yang antara lain merangkumi sasaran jualan sebanyak RM2.875 bilion bagi EcoWorld Malaysia.
Jumlah itu 25 peratus lebih tinggi berbanding jualan yang dicatatkan pada tahun kewangan 2020 berjumlah RM2.3 bilion.
“Kami telah membuat permulaan kukuh bagi tahun kewangan semasa dengan penjualan sebanyak RM500 juta untuk tempoh dua bulan pertama.
“Ia memberangsangkan memandangkan November dan Disember kebiasaannya adalah bulan yang perlahan bagi sektor hartanah.
“Prestasi ini mencerminkan keupayaan pasukan EcoWorld dalam mentransformasikan proses penjualan secara efektif, dengan memanfaatkan setiap alat termasuk pendigitalan dan media sosial untuk berinteraksi dengan pelanggan, seterusnya menjana jualan,” katanya.
Dalam pada itu, Kee Sin menyatakan pihaknya tetap terbuka bagi sebarang cadangan kolaborasi dengan UEMS pada masa depan.