KOTA TINGGI – Potongan diskaun bagi bil air wajar diberikan kepada mangsa banjir dalam usaha membantu meringankan beban rakyat yang terjejas akibat bencana itu.
Ahli Dewan Undanngan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari berkata, beliau berharap Ranjill SAJ dapat mempertimbangkan diskaun sebanyak 50 peratus kepada mereka yang terlibat di negeri ini.
“Pengguna banyak menggunakan bekalan air SAJ untuk mencuci kotoran akibat banjir yang berlaku dua kali.
“Saya amat simpati dan merasai beban penduduk kerana terkesan membayar bil air yang tinggi,” katanya selepas hadir program gotong-royong membersihkan rumah di Kampung Tembioh di sini hari ini.
Rosleli berkata, di kawasannya hampir 250 keluarga terjejas selepas mengalami banjir buruk serta lumpur yang berulang sejak 15 tahun lalu.
Antara kawasan terlibat Taman Aman, Taman Mawai, Kampung Makam, Kampung Tembioh dan pusat bandar Kota Tinggi.
Terdahulu, kira-kira 30 sukarelawan terlibat dalam program berkenaan termasuk Agensi Pertahanan Awam(APM) Kota Tinggi, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kota Tinggi dan penduduk Kampung Tembioh.
Pada program itu Rosleli turut menyampaikan sumbangan barang keperluan harian serta bahan pembersihan rumah kepada lima ketua keluarga di kampung berkenaan yang terjejas teruk akibat banjir. – K! ONLINE