PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam mendedahkan terdapat penjawat awam yang bekerja dari rumah (BDR) keluar bersantai atau membeli-belah di pasar raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, tindakan itu ternyata bertentangan dengan arahan yang mewajibkan semua pegawai terlibat berada di rumah masing-masing ketika BDR dijalankan.
“Terdapat isu yang ditimbulkan berkaitan penjawat awam yang bersikap sambil lewa dan menggunakan kesempatan BDR untuk keluar bersantai atau membeli-belah di pasar raya.
“Kes-kes sebegini menimbulkan persoalan setakat mana amanahnya kita sebagai penjawat awam walaupun hal ini bukan dikategorikan sebagai rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2021: Mendepani Cabaran Melangkaui Ekspektasi yang disiarkan secara virtual di Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam semalam.
Mohd. Khairul mengingatkan kira-kira 1.6 juta penjawat awam supaya tidak mengambil kesempatan BDR sebagai peluang bersenang-senang, keluar bersantai atau membeli-belah di pasar raya kerana ia boleh memberi imej buruk kepada perkhidmatan awam.
Katanya, ketirisan integriti dan amanah juga akan membawa kepada pelbagai isu lain yang memberi kesan terhadap penilaian pelanggan dan imej perkhidmatan awam itu sendiri.
“Sebagai contoh, pekerja yang kurang amanah, mungkin akan bekerja sambil lewa, tidak fokus dan berlengah-lengah menyiapkan tugasan.
“Tugasan yang boleh siap dalam masa satu hari, mungkin akan mengambil masa beberapa hari,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Khairul juga mahu semua penjawat awam mengambil tahu perlakuan rakan-rakan di tempat kerja bagi mencegah kegiatan rasuah dalam perkhidmatan awam.
Katanya, rasuah akan terus menjadi barah jika kegiatan itu tidak segera ditangani sehingga ia terpalit kepada kumpulan majoriti yang berintegriti dalam melaksanakan tugas.
“Jika dahulu kegiatan ini dilihat hanya terpencil kerana ia membabitkan sebilangan kecil penjawat awam, namun sekarang kita semua tidak boleh berdiam.
“Kita tidak boleh lagi mengamalkan sikap ‘jangan jaga tepi kain orang’, kita patut sama-sama memerhati perlakuan rakan-rakan di sekeliling kita,” ujarnya.
Kelmarin Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dilaporkan berkata, semua perkhidmatan kerajaan akan beroperasi dengan kehadiran 30 peratus kumpulan pengurusan.
Kumpulan sokongan pula ditentukan ketua jabatan masing-masing sepanjang tempoh PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPB) dari 13 hingga 26 Januari ini.
Mohd. Zuki berkata, sistem penggiliran dan BDR masih diteruskan mengikut keperluan dengan mengambil kira kebajikan penjawat awam.
PKP dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.
PKPB pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, manakala PKPP di Perlis serta Sarawak. -K! ONLINE