PETALING JAYA – Polis menahan dua individu di tapak parkir SS8 Kawasan Perindustrian Bebas, Sungai Way kerana menjalankan perniagaan melebihi masa ditetapkan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, kedua-dua suspek yang merupakan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan masing-masing berusia 37 dan 39 tahun ditahan semasa menjalankan perniagaan barangan runcit menggunakan sebuah van.
“Pemeriksaan lanjut di dalam van tersebut turut mendapati sebanyak 91 tin minuman keras pelbagai jenama dan 26 kotak rokok yang dipercayai barangan seludup.
“Kedua-dua suspek dikenakan tindakan kompaun RM1,000 kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nik Ezanee berkata, polis turut menahan seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun selepas gagal memberikan alasan munasabah mengenai pergerakannya ketika melalui SJR di susur keluar Plaza Tol Kota Damansara di sini petang semalam.
“Pada hari sama, lebih kurang pukul 8.50 malam, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya turut menahan seorang lelaki warga asing berusia 43 tahun di sebuah tapak penjaja tepi jalan di SS2/60 Petaling Jaya kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Manakala pemilik tapak penjaja tersebut iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun serta dua orang wanita tempatan berusia 36 dan 65 tahun iaitu pekerja dikenakan tindakan kompaun RM1,000 kerana beroperasi melebihi masa yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nik Ezanee memberitahu, polis juga telah menahan penjaga premis seorang lelaki warga asing kerana gagal menyediakan pemeriksaan suhu, cecair pembasmi kuman serta buku rekod pelanggan atau kod QR di dalam premis.
“Kes-kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa), Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 (PIN.2002),” katanya. – K! ONLINE