MALAYSIA memasuki ‘dunia’ baharu dalam usia negara kira-kira 62 tahun. Siapa menjangka apabila kita bangun pada pagi semalam, negara berada dalam darurat atau ‘emergency’.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan pelaksanaan darurat berkuat kuasa hingga 1 Ogos ini atau sehingga angka kes Covid-19 dapat dikawal.
Proklamasi darurat dibuat sehari selepas kerajaan mengumumkan langkah-langkah tegas termasuk perintah ‘lockdown’ di enam negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Sepanjang tempoh darurat, pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) tidak akan dilaksanakan. Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan bersidang sehingga tarikh ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ordinan-ordinan tertentu akan dilaksanakan sepanjang darurat bagi memberi kuasa kepada pemerintah melaksanakan usaha membendung Covid-19. Ini termasuk menggunakan kemudahan hospital swasta, mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah berkaitan Covid-19 dan memberi kuasa polis kepada pihak tentera.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan proklamasi darurat ini bukan rampasan kuasa tentera dan tiada perintah berkurung akan dilaksanakan. Beliau memberi jaminan semua fungsi kerajaan akan beroperasi seperti biasa dan usaha akan menjurus kepada menangani pandemik dan pemulihan ekonomi.
Beliau berjanji akan mengadakan pilihan raya sebaik pandemik ini selesai dan memberi hak kepada rakyat untuk memilih kerajaan seterusnya. Sebuah jawatan jawatankuasa khas bebas juga akan ditubuhkan bagi memastikan ketelusan proklamasi darurat.
Ketika ini terdapat perdebatan hangat punca di sebalik proklamasi darurat. Adakah ia darurat ekonomi, kesihatan, keselamatan atau politik? Adakah ini usaha mengelak pilihan raya? Ada dakwaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah hilang majoriti. Beberapa anggota dalam PN sudah menarik sokongan daripada kerajaan Muhyiddin.
Sebanyak mana perdebatan sekali pun, seperti kata orang putih ‘until the cows come home’ sudah tak berguna. Ia seperti air di bawah jambatan. Ia telah sampai ke muara. Proklamasi darurat sudah diumumkan. Apa yang penting tempoh lapan bulan selanjutnya.
Pemerintah berhadapan tanggungjawab besar. Apa yang penting, pertama, menangani pandemik Covid-19 dan menyelamatkan nyawa rakyat. Kedua, membenarkan rakyat menjalani kehidupan seperti biasa termasuk mencari nafkah tanpa menyalahi undang-undang walaupun dalam kekangan ketika berada dalam norma darurat.
Ketiga, melaksanakan keadilan untuk semua rakyat. Keempat, melaksanakan tanggungjawab berdasarkan perlembagaan dan kuasa yang diberikan seadil-adilnya. Kelima, menghilangkan kegusaran rakyat sepanjang tempoh ini.
Dan akhir sekali membenarkan rakyat memilih kerajaan apabila semua ini tamat. Apa yang penting pada akhir episod darurat ini, diharap sebuah Malaysia baharu yang lebih baik akan lahir dengan rakyat lebih kuat dalamannya serta sistem politik yang lebih matang.
Hendaknya, kita tidak perlu melalui dunia ‘darurat’ sekali lagi dalam kehidupan ini.