PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak akan melakukan pemotongan bekalan elektrik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, semua operasi Kedai Tenaga dan bacaan meter elektrik oleh TNB juga akan diteruskan seperti biasa sepanjang tempoh darurat dan PKP.
“Di samping itu, semua perkhidmatan pembekalan elektrik yang lain seperti penyambungan bekalan baharu, pembaikan kerosakan dan perkhidmatan pelanggan TNB CareLine di talian 15454 serta Facebook TNB CareLine berjalan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bagi urusan transaksi atau pembayaran pula, pengguna dinasihati untuk menggunakan kemudahan transaksi dalam talian yang boleh dicapai menerusi laman sesawang TNB dan aplikasi myTNB. – K! ONLINE