PENGARAH Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee mengesahkan skuad bawah 19 tahun (B-19) negara diberikan tanggungjawab untuk menyertai kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2021 yang berlangsung di Hanoi, Vietnam November depan.
Sebagai rekod, saingan bola sepak temasya sukan dwitahunan itu sebelum ini akan diwakili oleh pasukan B-23 kebangsaan.
Bagaimanapun, Kim Swee berkata, perancangan jangka panjang buat skuad B-19 memerlukan mereka mendapatkan pendedahan menyeluruh dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
“Skuad B-19 negara diberi peluang untuk bersaing dalam temasya Sukan SEA 2021 yang berlangsung di Hanoi pada penghujung tahun ini.
“Langkah ini untuk memberi pendedahan buat pasukan bagi memastikan skuad negara layak ke Sukan Olimpik 2024.
“Sebelum ke arah itu, skuad B-19 turut diberi peluang beraksi pada kelayakan Kejuaraan Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2022 tahun ini sebelum Sukan SEA 2023 di Kemboja,” katanya semalam.
Kim Swee turut mengesahkan status ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney untuk mengharungi Sukan SEA 2021 nanti masih belum diputuskan.
“Kami belum memutuskan siapa bakal menjadi pengendali skuad B-19 negara pada Sukan SEA 2021. Cuma, apa yang boleh saya katakan kombinasi pemain dalam pasukan itu akan dibentuk menerusi skuad B-19 di bawah bimbingan Maloney dan Skuad Projek MSN-FAM yang bersaing dalam Liga Premier tahun ini,” katanya.
Difahamkan, kontrak Maloney bersama FAM akan berakhir selepas tamat mengharungi Kejuaraan AFC B-19 di Uzbekistan pada Mac ini.