RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM4.2 juta di sempadan negara dalam tempoh 29 hari sepanjang musim banjir yang melanda negeri ini.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, kejayaan itu menunjukkan bahawa PGA tetap melakukan tugasan meskipun beberapa buah pos kawalan di Rantau Panjang hingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat ditenggelami banjir.
Menurutnya, sebanyak 77 kes penyeludupan berkait dengan haiwan ternakan, barangan tiruan (kontraban), kosmetik, ayam beku, pakaian, bahan subsidi, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan ketum dilaporkan bermula 16 Disember lalu.
“Selai itu, kita turut menangkap seramai 67 individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan dadah sepanjang menjalankan Ops Benteng Covid-19 di sempadan negara.
“Terbaharu, PGA dengan kerjasama Kemententerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor berjaya mematahkan cubaan untuk menyeludup minyak petrol dalam dua serbuan berasingan di sini semalam,” katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal PGA, Lubok Stol di sini hari ini.
Menurut Azhari, serbuan pertama dijalankan di Jalan Pasir Mas – Rantau Panjang pada pukul 5 petang dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 35 tahun bersama 625 liter petrol dalam kenderaan yang dinaikinya.
Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkait kes dadah.
Ujarnya, 15 minit kemudian, PGA telah menahan sebuah kereta jenis Proton Saga di Kampung Kubang Rambutan di sini.
“Pemandu kereta itu dilihat terkejut apabila mendapati keretanya telah diekori oleh PGA, KPDNHEP Kelantan dan PPM Wilayah Tiga.
“Suspek telah memecut keretanya sebelum hilang kawalan dan merempuh pagar sebuah rumah,” katanya.
Menurut Azhari, pemeriksaan terhadap kereta itu telah membawa kepada penemuan sebanyak 625 liter petrol.
Katanya, kemalangan itu juga menyebabkan pemandu kereta mengalami kecederaan pada anggota badan dan dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk menerima rawatan.
Tambahnya, pemeriksaan mendapati, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kes pemerdagangan orang dan senjata berbahaya. -K! ONLINE