KOTA TINGGI – Kegiatan sebuah premis di Teluk Ramunia di sini yang disyaki menjadi stor transit penyeludupan hidupan liar ke negara jiran terbongkar dalam satu serbuan dilakukan dalam Ops Benteng semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, serbuan itu turut berjaya merampas 17 bakul plastik hitam berisi 228 ekor burung Murai Batu bernilai RM33,450.
Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama yang dijalankan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua.
”Seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 30 tahun juga berjaya ditahan atas kesalahan menyimpan hidupan liar tanpa dokumen penyimpanan yang sah dari Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia.
“Susulan itu satu laporan polis telah dibuat dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 60 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Suspek telah dijamin polis dan rakaman percakapan juga telah diambil untuk tindakan lanjut.
“Untuk rekod ini merupakan kes kedua dalam bulan ini di mana kes pertama adalah pada 9 Januari lalu,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Salman berkata, kesemua barang kes dibawa ke Pejabat Jabatan Perhilitan Daerah Bandar Penawar untuk tindakan selanjutnya.
Jelasnya, Perhilitan turut mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama dan sokongan oleh pihak PDRM dalam membendung jenayah hidupan liar.
“Orang ramai juga diseru supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah hidupan liar ke Talian Hotline Jabatan Perhilitan di 1800-88-5151,”katanya. -K! ONLINE