KOTA KINABALU – Kira-kira 50 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan Polis Sabah membabitkan lokasi strategik sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri ini bermula tengah malam tadi.
Ketua Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Sabah, Khalid Saion berkata, SJR 24 jam yang dilaksanakan membabitkan sekitar 4,000 petugas keselamatan termasuklah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Katanya, semua SJR terbabit turut diadakan di beberapa laluan strategik membabitkan jalan utama rentas daerah di negeri ini.
”Selain itu, kita juga menggerakkan sebanyak 250 pasukan pemantau untuk membuat pemeriksaan mengejut di beberapa lokasi terpilih.
“Ia adalah bagi memastikan orang awam mematuhi semua undang-undang ditetapkan dalam usaha memutuskan penularan wabak COVID-19,” katanya ketika ditemui di SJR Jalan Politeknik, Sepanggar malam tadi.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.
Dalam pada itu, Khalid berkata, pihaknya akan bertindak tegas dan mengenakan tindakan kompaun terhadap mana-mana individu yang didapati melanggari PKP.
Menurut beliau, individu yang perlu merentasi sempadan untuk bekerja dinasihatkan supaya mengemukakan surat daripada majikan atau surat kebenaran polis ketika melalui SJR.
Sementara itu, tinjauan terhadap pelaksanaan SJR di Jalan Politeknik, Sepanggar, mendapati, masih banyak kenderaan yang bergerak walaupun PKP mula berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam namun kebanyakan pengguna kenderaan terbabit tidak diambil tindakan kerana masing-masing menunjukkan surat daripada majikan selain surat kebenaran daripada pihak polis. – K! ONLINE