JOHOR BAHRU – Polis Johor akan memberi tempoh selama tiga hari kepada masyarakat negeri ini untuk membiasakan diri dengan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini sebelum penguatkuasaan tegas mula dibuat pada hari berikutnya.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam tempoh itu pihaknya akan mengutamakan pendekatan mendidik dan memberi amaran, selain turut bertolak ansur.
Jelasnya, perkara berkenaan bagi membolehkan masyarakat memahami dan mematuhinya undang-undang ditetapkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dikuatkuasakan kerajaan.
“Dalam tempoh tiga hari pertama ini, kita akan berlembut sendiri tetapi selepas itu, kita akan perketatkan penguatkuasaan dengan mengambil tindakan tegas.
“Jadi saya menasihati masyarakat agar mematuhi setiap peraturan dan undang-undang mengikut SOP PKP ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi Sekatan Jalan Raya di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Skudai, di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan enam buah negeri akan dikenakan PKP selama dua minggu bermula hari ini termasuk negeri Johor.
Tambah beliau, pemerhatian pihaknya pada hari pertama PKP ini mendapati pematuhan masyarakat Johor berada pada tahap antara 97 hingga 98 peratus.
“Untuk peringkat permulaan, kita membuka sebanyak 46 lokasi sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri dan akan ditambah lagi sebanyak lima lokasi lain dalam waktu terdekat.
“Ketika ini, seramai 204 pegawai dan anggota polis akan terlibat dalam penugasan di kesemua SJR terlibat dengan dibantu seramai 35 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Selain itu bermula esok, seramai 351 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Briged Tujuh Infantri Malaysia akan menyertai operasi penguatkuasaan di kesemua SJR seluruh Johor,” ujarnya.-K! ONLINE