JOHOR BAHRU – Pasangan pengantin yang memperolehi kebenaran berkahwin sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi berada di luar daerah atau negeri perlu menangguhkan majlis akad nikah.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bakal pasangan raja sehari perlu menjadualkan semula majlis akad nikah ke suatu tarikh selepas tempoh PKP ditamatkan.
“Majlis akad nikah yang dibenarkan hanyalah di pejabat kadi daerah dan terhad kepada pasangan pengantin dan wali dari daerah yang sama sahaja serta telah memperolehi kebenaran berkahwin sebelum dari tarikh PKP.
“Bagi pasangan pengantin yang memperolehi kebenaran berkahwin sebelum PKP tetapi berada di luar daerah atau negeri dari tempat majlis akad nikah iaitu pejabat kadi daerah, majlis akad nikah pasangan tersebut hendaklah ditangguhkan dan akan dijadualkan semula tarikh pernikahan oleh pejabat kadi daerah,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut bertitah lain-lain urusan nikah, cerai dan rujuk yang dibenarkan seperti pendaftaran cerai dan rujuk, permohonan kad perakuan nikah, pengambilan dokumen nikah, cerai dan rujuk di pejabat kadi daerah.
Baginda bertitah, bagi permohonan baru kebenaran nikah dan permohonan pengesahan pendaftaran perkahwinan dan poligami adalah ditangguhkan dalam tempoh PKP.
Negeri Johor merupakan antara enam negeri yang dikenakan PKP bermula hari ini sehingga 26 Januari depan. – K! ONLINE.