“KINI, aku menelusuri kehidupan baharu ini dengan perspektif yang berbeza. Ternyata kesihatan juga adalah satu nikmat yang selalu kita lalaikan dan kurang kata-kata syukur kepada yang Maha Esa.”
Itulah bait-bait kata yang diungkap Khairul Shazwali Taib, 35, di laman web MYbuahpinggang.com. Laman web tersebut merupakan satu portal pendidikan yang memberi maklumat tepat berkaitan masalah penyakit buah pinggang.
Khairul Shazwali yang lebih mesra dengan panggilan Wali kini aktif berkongsi kisah hidupnya sebagai seorang pesakit masalah kegagalan buah pinggang kepada masyarakat.
“Di laman web ini, saya berkongsi pengalaman hidup saya sebagai seorang yang pernah berdepan masalah buah pinggang dan bagaimana saya melalui kehidupan normal setelah menjalani transplan pemindahan buah pinggang.
“Di laman web ini juga banyak pakar nefrologi menyampaikan informasi berguna mengenai masalah buah pinggang,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Tambahnya, perkongsian yang tepat mengenai masalah penyakit ini amat penting bagi membolehkan mereka di luar sana yang berdepan dengan masalah ini mendapat maklumat sahih.
Wali menceritakan dia disahkan mengalami penyakit kegagalan buah pinggang pada lima tahun lalu.
“Saya sebelum itu sihat dan seorang yang aktif bersukan, tetapi berhadapan masalah gout di mana kaki membengkak. Setelah melakukan pemeriksaan akhirnya saya didiagnosis mempunyai masalah kegagalan buah pinggang tahap akhir.
“Siapa sangka, kerana saya pada masa itu tidak merasakan apa-apa kesakitan di bahagian pinggang.
“Pada ketika itu, saya tidak boleh menerima hakikat dan mula mencari maklumat berkaitan masalah penyakit buah pinggang di internet. Maklumat diperoleh kebanyakan dari luar negara.Ini sedikit sebanyak menyukarkan saya untuk memahaminya,” jelasnya.
Tambahnya, lambakan maklumat berkaitan penyakit tersebut yang diperolehnya di internet pada ketika itu juga belum tahu tentang kesahihannya.
“Saya reda pada ketika itu apabila perlu melakukan dialisis untuk merawat kegagalan buah pinggang.
Wali menjelaskan dia harus menjalani Peritoneal Dialisis (PD). PD ialah salah satu cara mengeluarkan bahan kumuh dari badan apabila seseorang itu sudah didiagnos sebagai pesakit buah pinggang tahap akhir.
“Saya menjalani PD ini empat kali sehari dengan setiap sesi mengambil masa setengah jam. Saya melakukannya selama lebih tiga tahun sebelum melakukan transplan.
“Sewaktu menghidapi masalah itu, saya bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang. Mujur majikan memahami penyakit yang saya hadapi dengan membenarkan saya bekerja secara syif bagi membolehkan saya melakukan PD,” katanya.
Jelasnya, apabila melakukan PD, Wali tidak boleh melakukan aktiviti lasak yang melibatkan banyak sentuhan.
Ini kerana dia perlu menjaga tiub di bahagian perutnya.
“Saya juga tidak boleh mengangkat benda yang berat pada ketika itu bagi menjaga tiub pada bahagian perut,” ujarnya yang kini bekerja sebagai seorang konsultan teknikal.
Penderitaan Wali bagaimanapun berakhir apabila menjalani transplan pemindahan buah pinggang tahun lalu.
“Saya bersyukur penderitaan saya berakhir setelah abang kandung saya mengambil keputusan mendermakan buah pinggangnya untuk saya dan kami berdua menjalani transplan pada Januari tahun lalu,” jelasnya.
Tegasnya, kehidupan kini kembali seperti normal dan hanya perlu mematuhi pengambilan ubat-ubatan bagi memastikan buah pinggang yang didermakan berfungsi baik.
Wali juga tidak perlu lagi menjalani rawatan dialisis dan dapat menghayati kebebasan sebenar dalam hidup.
Kini, dengan adanya laman web MYBuahPinggang.com, pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang atau ahli keluarga yang ingin mengetahui akan maklumat yang komprehensif dan tepat boleh akses ke laman itu secara percuma.
MYBuahPinggang.com yang dirasmikan Disember lalu hakikatnya satu usaha daripada gerakan sukarela dimulakan oleh sekumpulan doktor pakar dan pesakit buah pinggang bagi memberi kesedaran yang lebih meluas kepada orang ramai mengenai penyakit tersebut.
Laman web itu telah dibangunkan oleh Persatuan Tweet Perubatan #MedTweetMY dengan mendapat sokongan daripada pasukan Nefrologi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF Malaysia), Datuk Dr. Zaki Morad Mohd. Zaher menjelaskan, pengenalan laman web tersebut sangat tepat pada masanya.
“Pesakit kini boleh mengakses semua maklumat yang diperlukan mengenai kesihatan buah pinggang melalui laman web ini.
“Tahniah kepada mereka yang telah membangunkan laman web ini dan menjadikan projek ini sebagai realiti. Dalam memberikan maklumat yang sahih, laman web yang boleh dipercayai sangat penting untuk diterima pakai pesakit sekali gus membantu mereka membuat keputusan yang tepat,” katanya.
Tambahnya, NKF Malaysia akan terus menyokong dan bekerjasama dengan Persatuan Nefrologi Malaysia serta KKM, terutama untuk memberikan rawatan dialisis yang berkualiti kepada pesakit miskin.
Pihaknya juga akan bersama-sama mempromosikan pendermaan organ, berkempen dan menjalankan program pendidikan serta kesedaran awam untuk mengetengahkan penjagaan buah pinggang yang baik.
Dalam pada itu, Pakar Nefrologi dan Perubatan Dalaman, Hospital Putrajaya yang juga Pengerusi Bersama MYBuahPinggang.com, Dr. Rafidah Abdullah berkata, idea untuk membangunkan laman web khusus untuk penyakit buah pinggang telah lama dirancang.
“Sebelum ini saya sendiri menggunakan media sosial untuk berkongsi maklumat, begitu juga dengan pakar-pakar yang lain.
“Kami menyedari orang ramai ingin tahu dengan lebih mendalam mengenai penyakit kegagalan buah pinggang. Oleh itu kami mengambil keputusan membangunkan sebuah laman web untuk pesakit dan orang ramai,” jelasnya.
Tegasnya, laman web tersebut adalah pusat sehenti yang menyebarkan maklumat yang betul dan sahih berkaitan penyakit tersebut.
Ramai pakar yang terlibat dan orang ramai boleh melihat profil doktor di laman web berkenaan.
Sementara itu, antara kandungan yang ada di laman web tersebut merangkumi anatomi dan fungsi buah pinggang, jenis penyakit buah pinggang, penyebab, gejala, rawatan dan pencegahannya.
Pengunjung juga boleh mengetahui tentang rawatan dialisis, rawatan konservatif dan juga transplan.
Dari aspek transplan misalnya, pengunjung boleh mengetahui lebih lanjut mengenai proses itu di Malaysia serta pandangan dari perspektif agama.