fbpx

Peniaga cakoi mengaku salah miliki pistol, peluru dan parang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh Kow Peng Han, 39 didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

AMPANG – Seorang peniaga cakoi mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sepucuk pistol, beberapa butir peluru dan sebilah parang dua minggu lalu.

Tertuduh Kow Peng Han, 39, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa Mandarin di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 27 Januari ini bagi tarikh fakta hukuman dan jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa memiliki 10 butir peluru 9 milimeter (mm) jenis Luger PMC dan sepucuk pistol model SIG Sauer P224 yang kedua-duanya tanpa kebenaran yang sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Simpang Jalan Perdana 2/3A Pandan Perdana pukul 10.45 pagi pada 1 Januari lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga tertuduh didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah parang panjang berukuran 27 inci berhulu berwarna coklat pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (akta 537) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI