SEBERANG PERAI – Seorang penganggur di Butterworth di sini yang terdesak mahu membuat pinjaman wang berputih mata apabila bukan sahaja tidak memperoleh pinjaman yang dipohon, bahkan kerugian RM18,960 dipercayai selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pinjaman wang tidak wujud semalam.
Mangsa, lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan berhasrat membuat pinjaman itu selepas dia melihat iklan sebuah syarikat yang kononya menawarkan pinjaman wang berlesen di internet baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa telah menghubungi ejen syarikat terbabit secara online.
“Dia berhasrat membuat pinjaman sebanyak RM10,000 dan permohonannya dikatakan telah lulus.
“Bagaimanapun, mangsa diminta membuat bayaran proses terlebih dahulu sebelum wang itu dilepaskan pihak syarikat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Noorzainy berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa telah mengikut arahan ejen terbabit dengan memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan secara berperingkat.
“Mangsa menyerahkan sebanyak RM18,960 ke dalam satu akaun bank yang diberi menerusi beberapa transaksi, namun menyedari dia ditipu selepas ejen berkenaan gagal dihubungi,” katanya lagi.
Menurut Noorzainy, mangsa tampil membuat laporan polis semalam.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE