fbpx

Mimpi nyata Haqiem Rusli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAQIEM RUSLI

SELEPAS hampir lima tahun bergelar artis di bawah naungan FMC Music, penyanyi popular Haqiem Rusli melancarkan single ke-14 berjudul Mimpi sempena membuka tirai jendela 2021.

Lagu yang menjadi runut bunyi drama bersiri Bidadari Salju yang sedang ditayangkan menerusi TV3 mendapat perhatian peminat sejak episod pertama bersiaran pada 15 Disember lalu.

“Ketika episod pertama bersiaran, peminat hantar mesej kepada saya bertanya mengapa video muzik lagu Mimpi tiada dalam YouTube.

“Pertanyaan sebegitu membuatkan saya berasa sangat gembira dan dihargai peminat. Seolah-olah ini single pertama yang dinanti-nantikan peminat.

“Menamatkan penantian peminat, sekarang video muzik rasmi Mimpi sudah tersedia dalam platform YouTube sejak 7 Januari lalu,” ujarnya.

Sejak dilancarkan, video muzik Mimpi mencatat trending No. 1 dalam YouTube dengan jumlah tontonan hampir sejuta setakat ini.

Pemilik nama sebenar Ridzuan Haqiem Rusli itu yang mula dikenali menerusi single hit Segalanya dan Tergantung Sepi kini semakin berani mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri.

Mimpi merupakan single kelima hasil ciptaan penuh Haqiem dan dinyanyikan sendiri olehnya selepas Bangkit, Lembah Kesepian, Qiemillio dan What Can I Do For You.

Belum puas

Menariknya tentang lagu Mimpi, ini merupakan kali pertama peminat menyaksikan Haqiem, 23, menjalin kerjasama dengan pengarah terkenal Datuk A. Aida dalam proses penghasilan lagu dan lirik.

Menyifatkan kerjasama bersama pengarah drama Andainya Takdir itu sebagai pengalaman baharu yang menyeronokkan, Haqiem berkata, dia sangat mengagumi semangat yang dimiliki wanita itu.

“Ini merupakan kali pertama saya berkolaborasi dengan Datuk A. Aida di dalam studio. Saya suka semangat dan kesungguhan beliau sewaktu bekerja.

“Saya kagum dengan dirinya yang bukan sahaja berjaya dalam industri tetapi sebagai seorang ibu tunggal yang cekal tanpa pernah mengenal erti putus asa,” ujarnya.

Ketika ditebak tentang harapan untuk lagu tersebut, pemenang Anugerah Bintang Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 (ABPBH33) tahun lalu itu menyimpan impian menggunung.

“Bohonglah kalau saya kata tidak letak harapan tinggi. Ini lagu saya, jadi mestilah saya harapkan sesuatu daripada hasil kerja keras sendiri.

“Impian tahun baru, saya bukan sahaja mahu orang mengenali Haqiem Rusli sebagai seorang penyanyi. Bahkan lebih daripada itu. Saya mahu mencipta jenama sebagai komposer yang disegani seperti Datuk M. Nasir dan Datuk Ahmad Nawab,” tuturnya bersulam semangat positif.

Selama bergelar penyanyi, tidak pernah sekali pun dia tampil dengan projek duet membabitkan artis wanita. Sementelah isu tersebut sebelum ini sememangnya pernah menjadi perhatian peminat.

“Buat masa ini saya lebih selesa fokus kepada nyanyian solo. Bukan tidak mahu tetapi nantilah dulu.

“Memang ada yang ajak berduet tetapi saya tolak dengan cara baik. Bagi saya, biarlah saya betul-betul sukses dengan lagu solo buat masa ini sebelum merencana lebih jauh,” jelasnya.

Pada masa sama, penyanyi kelahiran Selangor itu mengakui dia belum berkesempatan untuk memenuhi permintaan sesetengah pihak yang meminta dirinya menghasilkan lagu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI