MUNICH – Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski (Lewy) mengakui bahawa pengurus Liverpool, Jurgen Klopp yang juga bekas jurulatihnya ketika di Borussia Dortmund adalah jurulatih yang ‘teruk’.
Mengingati semula detik ketika tiba di Dortmund, Lewy mengakui bahawa kariernya tidaklah berjalan dengan mudah dan terpaksa berdepan kesukaran ketika berada di bawah bimbingan Klopp selepas diarahkan beraksi sebagai penyerang tunggal.
Katanya, kekalahan kepada Marseille dalam saingan Liga Juara-Juara 2011 menyebabkan dia bertelagah dengan Klopp tetapi mengakui bahawa kerana jurulatih itulah dia mampu mengecap kejayaan ketika ini.
“Beliau seperti bapa saya tetapi sebagai jurulatih, beliau sangat ‘teruk’.
“Kalau kita kenang semula zaman persekolahan, guru manakah yang kita ingati walaupun sudah dewasa? Sudah pasti, ia bukanlah guru yang sering membuatkan kita senang dan tidak mengharapkan apa-apa daripada kita.
“Guru yang akan anda paling ingat adalah guru yang teruk, yang sentiasa tegas dengan anda. Orang yang sentiasa memberikan anda tekanan dan sentiasa mahukan yang terbaik daripada anda. Jurgen adalah individu yang seperti itu.
“Beliau tidak senang untuk melihat anda berada dalam kategori B. Beliau mahu A++, bukan untuk beliau tetapi untuk diri anda sendiri.
“Beliau mengajar saya banyak perkara. Apabila tiba di Dortmund, saya mahu segalanya berjalan dengan pantas, menjadi kuat, melakukan hantaran dengan baik dan menggunakan teknik satu sentuhan. Namun, Jurgen mahu saya lebih tenang.
“Apa yang berlaku di Dortmund adalah saya menentang sifat semulajadi diri saya. Ia berhasil dan saya mula selesa menjaringkan gol. Semua kerana Jurgen,” katanya. – AGENSI