fbpx

Lebih 800 anggota terlibat SJR, pantau SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SUNGAI PETANI – Lebih 800 anggota polis dan pasukan keselamatan terlibat dalam penugasan sekatan jalan raya (SJR) serta pemantauan prosedur operasi standard (SOP) susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini bermula hari ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan memberitahu, hampir 500 anggota yang turut melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditugaskan di 18 SJR.

“Selain SJR di lokasi ditetapkan, kita ada pasukan pemantau pematuhan SOP yang akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

“Ia melibatkan 86 pasukan terdiri daripada lebih 300 petugas diketuai Polis Diraja Malaysia,” katanya ketika ditemui di SJR Jambatan Merdeka, Tikam Batu di sini hari ini.

Kata beliau, antara lokasi SJR ialah di Plaza Tol Alor Setar Utara dan Selatan serta Jalan Simpang Tiga Kepala Batas di Alor Setar dekat sini; Plaza Tol Gurun, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan serta Jambatan Merdeka dan Jalan Pinang Tunggal di sini.

“SJR di Kubang Pasu ialah di Jalan Kodiang-Arau sementara di Kulim pula ialah Jalan Junjong-Tasik, Jalan Keladi-Sungai Lembu, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jalan Ekor Kucing,” ujarnya.

Menurut Hasanuddin, dua SJR sedia ada di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bagi Op Benteng dikekalkan.

“Sebanyak 18 SJR baharu itu adalah penambahan susulan PKPB yang dilaksanakan ekoran peningkatan kes Covid-19,” jelasnya.

Katanya, pemerhatian di SJR Jambatan Merdeka mendapati jumlah kenderaan yang biasa melalui kawasan itu iaitu sehingga 700 buah sehari menurun sehingga kurang 300 buah sehari.

“Ini menunjukkan orang ramai faham tentang pelaksaan PKPB termasuk larangan untuk merentas negeri tanpa alasan kukuh,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar arahan dan SOP PKPB. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI