KOTA BHARU – Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menangguhkan semua kuliah-kuliah agama sama ada kuliah subuh, maghrib, dhuha bermula hari ini hingga 26 Januari depan.
Penangguhan itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah diumumkan oleh kerajaan di negeri Kelantan.
Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Datuk Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, selain itu, kuliah-kuliah lain termasuk kelas-kelas al-Quran di masjid, surau dan musalla juga ditangguhkan dalam tempoh tersebut.
Katanya, bagi solat fardhu dan jumaat, seramai 50 orang jemaah dibenarkan dalam satu-satu masa bagi masjid bandar, jajahan serta masjid mukim.
“Bagi surau, seramai 30 orang jemaah dibenarkan manakala musalla seramai 10 orang jemaah pada setiap waktu dengan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.
“Kehadiran jemaah juga perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) antaranya memastikan hanya pegawai-pegawai masjid iaitu imam tua, imam muda, bilal, siak dan ahli jawatankuasa masjid dan anak-anak mukim terpilih sahaja dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurut Tengku Temenggong Kelantan, bagaimanapun, ahli jawatankuasa dan anak-anak mukim yang berusia 70 tahun ke atas tidak dibenarkan hadir ke masjid.
Katanya, selain itu, pintu pagar masjid dibuka 20 minit sebelum azan dan imam perlu memastikan solat diselesaikan dalam tempoh 20 minit selepas azan.
“Jemaah juga diingatkan agar segera meninggalkan ruang solat setelah selesai menunaikan solat.
“Pemakluman ini telah mendapat perkenanan dari Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama negeri mengikut peruntukan Perkara 6(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan,” katanya.
Tambahnya, pihak pengurusan masjid perlu mematuhi SOP yang ditetapkan dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya kegagalan untuk mematuhinya. – K! ONLINE