fbpx

JTK Perak akan dakwa kilang sarung tangan gagal patuhi peraturan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai JTK Perak melakukan pemeriksaan di asrama pekerja sebuah kilang di Chemor hari ini.

IPOH – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak akan mendakwa sebuah kilang sarung tangan getah atas 10 pertuduhan dalam masa terdekat kerana kegagalannya mematuhi peraturan ditetapkan JTK dalam satu pemeriksaan tahun lalu.

Pengarah JTK Perak, Muhamad Fauzi Abd. Ghani berkata, pihaknya sudah menyiapkan 10 kertas siasatan dan pertuduhan terhadap kilang berkenaan dan telah menyerahkan siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Perkara itu sedang dalam proses akhir untuk tindakan pendakwaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan operasi di asrama pekerja sebuah kilang dekat Chemor di sini hari ini.

November tahun lalu, JTK mendapati satu daripada asrama tempat penginapan pekerja yang dimiliki syarikat sarung tangan terkenal di kawasan perumahan Tasek di sini melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Kesalahan itu dikesan ketika operasi jabatan itu bersama JTK Perak dan Jabatan Kesihatan Perak dan mendapati  tempat penginapan disediakan melebihi kapasiti 12 orang dan ruang tamu dijadikan tempat tidur serta jumlah bilik air tidak sepadan dengan jumlah individu yang menginap.

Sementara itu, dalam operasi pemeriksaan yang dijalankan di asrama sebuah kilang hari ini, Muhamad Fauzi berkata kilang berkenaan juga gagal mematuhi peruntukan yang ditetapkan mengikut Akta 446 selain turut dikesan masih belum mendapatkan perakuan penginapan daripada JTK.

“Perkara itu adalah menjadi satu kesalahan yang jika sabit kesalahan majikan boleh didenda RM50,000 jika gagal mendapatkan perakuan penginapan.

“Kita lihat tadi keadaan asrama sangat mengerikan. Kalau ikut peruntukan undang-undang majikan perlu sediakan tandas, tempat masak yang bersesuaian, tetapi tadi terlalu kotor. Ia boleh menyebabkan berlakunya penularan wabak Covid-19 dan akan menyebabkannya menular dalam kalangan pekerja,” katanya.

Beliau berkata, jika sebelum ini pada tahun 2020, JTK hanya memberikan pendidikan kepada majikan dan meminta mereka memohon sijil penginapan daripada JTK, namun bermula tahun ini tindakan penguatkuasaan mula dilaksanakan.

Katanya, jika majikan gagal menyediakan apa yang ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang di asrama penginapan pekerja, kertas siasatan akan dibuka dan majikan akan dikenakan tindakan mengikut peraturan ditetapkan.  – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI