KUALA TERENGGANU – Hampir 400 rumah di sekitar Losong khususnya Kampung Losong Haji Mohd., Losong Haji Su dan Losong Panglima Perang di sini dilanda banjir kilat berikutan fenomena air pasang besar malam tadi.
Fenomena menyebabkan paras Sungai Terengganu berhampiran meningkat lalu melimpahi kawasan penempatan tersebut mulai pukul 8.30 malam sebelum surut sepenuhnya pada kira-kira pukul 4 pagi tadi.
Seorang penduduk, Hazizi Muhammad, 34, berkata, pekarangan rumahnya dinaiki air setinggi lebih semeter berikutan fenomena air pasang berkenaan.
Dia berkata, rumahnya di Kampung Losong Haji Mohd. sudah enam kali dilimpahi air Sungai Terengganu berikutan fenomena itu sepanjang musim tengkujuh yang bermula bulan November lalu.
“Dalam kejadian air pasang besar baru-baru ini, seekor ular sawa bersaiz besar dihanyutkan air itu memasuki bahagian dapur rumah saya.
“Mujur anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu menangkap ular sawa itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Hazizi berkata, dia juga dimaklumkan fenomena air pasang besar diramal berlaku sekali lagi dalam skala lebih besar seawal pukul 9 malam ini. – K! ONLINE