fbpx

Bilangan mangsa banjir di Sabah meningkat semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA KINABALU – Bilangan mangsa banjir di Sabah menunjukkan peningkatan semula hari ini.

Setakat jam 10 pagi tadi, terdapat 951 orang membabitkan 310 keluarga masih ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan daerah Kota Marudu, Pitas dan Beaufort.

Jumlah terbabit bertambah berbanding 912 orang dari 290 keluarga setakat jam 9 malam tadi.
Terdahulu, penduduk terjejas banjir di Sabah adalah seramai 1,765 orang yang terdiri dari 567 keluarga membabitkan empat buah daerah setakat 4 petang semalam.

Bagaimanapun, semua PPS terdapat di daerah Kudat sudah ditutup sepenuhnya pada jam 5 petang semalam.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata daerah Kota Marudu kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 782 orang dari 263 keluarga.

“Menerusi jumlah itu, 324 penduduk dari 80 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Taritipan mankala 307 penduduk membabitkan 120 keluarga kini masih berada di PPS Dewan Kampung Asin-Asin.

“Selain itu, 119 orang mangsa banjir melibatkan 45 keluarga berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek selain 32 penduduk terjejas dari 18 keluarga di PPS SK Advent Damai,” katanya.

Jurucakap APM menyatakan daerah Pitas mencatatkan 145 orang mangsa banjir dari 38 keluarga membabitkan tiga PPS.

Menurutnya, 62 mangsa melibatkan 17 keluarga ditempatkan di SK Pekan lll, PPS Dewan Kampung Kusilad (42 mangsa, 10 keluarga) dan PPS SK Salimpodon (41 mangsa, 11 keluarga).

Dalam pada itu, hanya 24 mangsa banjir dari sembilan keluarga masih berada di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir ketika ini.

Sementara itu, terdapat 84 kampung di tiga daerah terjejas masih digenangi banjir. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI