fbpx

[VIDEO] Bekas Lans Koperal mengaku bersalah terima rasuah pusat urut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shahridhuan (dua kiri) mengaku bersalah terima rasuah RM3,900 daripada pemilik pusat urut.

SHAH ALAM – Seorang bekas anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan termasuk pertuduhan pilihan menerima rasuah keseluruhan RM3,900 daripada pemilik sebuah pusat urut di antara 2016 hingga 2017.

Tertuduh, Mohd. Shahridhuan Zohir, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.

Mengikut satu pertuduhan pilihan, Mohd. Shahridhuan didakwa menerima wang tunai RM600 daripada seorang pemilik pusat urut berusia 42 tahun.

Tertuduh juga berdepan lima lagi pertuduhan menerima wang tunai keseluruhan RM3,300 bersama anggota berpangkat konstabel percubaan, lans koperal dan koperal daripada individu sama.

Kesemua perbuatan itu dilakukan Mohd. Shahridhuan ketika menjawat pangkat Lans Koperal di Balai Polis Komuniti Bandar Teknologi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu bersama rakan-rakannya dari balai sama di JJ Harmony Spa, Taman Anggerik, Semenyih dan sebuah restoran di Jalan Reko, Kajang di antara 27 Jun 2016 hingga 4 Februari 2017.

Sabit kesalahan bagi keenam-enam pertuduhan itu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tuan Attfina Tuan Kamaluddin Tuan Attfina Tuan Kamaluddin menawarkan jaminan keseluruhan RM35,000 bersama seorang penjamin.

Mohd. Shahridhuan yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan susulan tidak lagi bekerja sejak diberhentikan 19 Mac 2019.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,500 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan tarikh fakta kes serta jatuh hukum ditetapkan 16 Februari depan.

Kosmo! pada 9 Oktober lalu melaporkan empat anggota polis termasuk seorang Timbalan Ketua Balai Polis Komuniti Bandar Teknologi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan menerima rasuah berbentuk wang tunai antara Mac 2016 hingga Februari 2017. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI