JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di negeri ini dijangka mula pulih hari ini selepas Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan tidak akan berlaku cuaca hujan lebat atau berpanjangan seperti beberapa hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, setakat pukul 8 pagi, seramai 3,314 mangsa masih ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di seluruh negeri.
Menurutnya, sebanyak lima daerah di Johor masih terjejas banjir iaitu Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi, Kluang dan Segamat.
“Setakat ini, Kota Tinggi masih merupakan daerah paling terjejas dengan merekodkan seramai 2,202 mangsa daripada 587 keluarga yang ditempatkan di 22 buah PPS.
“Ini diikuti Johor Bahru dengan seramai 922 mangsa, Kluang (97 mangsa), Segamat (76 mangsa) dan Pontian (17 mangsa),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, Vidyananthan turut memaklumkan tiada amaran cuaca buruk dikeluarkan pihak Jabatan Meteorologi Malaysia bagi negeri Johor setakat hari ini.
“Amaran cuaca tahap buruk dan waspada hari ini hanya dikeluarkan membabitkan beberapa kawasan di Sarawak.
“Setakat pagi ini juga, hanya terdapat satu laluan yang masih ditutup buat semua kenderaan iaitu Jalan Kota Tinggi-Kluang di Taman Seri Impian akibat kejadian tanah runtuh,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu ekoran negara masih dibelenggu pandemik Covid-19 ketika ini selari dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini bagi negeri Johor. -K! ONLINE