PENYANYI dangdut Anisa Bahar dikecam netizen kerana memuat naik kenyataan menyinggung perasaan ahli keluarga nahas pesawat Sriwijaya Air yang terhempas ke dalam laut berdekatan dengan Kepulauan Seribu baru-baru ini.
Dalam kenyataan menerusi Instagram, penyanyi yang terkenal dengan gelaran ‘goyang patah-patah’ itu berkata, nahas tersebut berlaku disebabkan ada penumpang menggunakan telefon bimbit ketika berada di dalam pesawat.
Selepas dikecam hebat, Anisa memberitahu bahawa dia tidak bermaksud untuk menyinggung perasaan dan membuat tuduhan terhadap mangsa nahas pesawat malang tersebut. Sebaliknya dia berniat untuk memberikan nasihat kepada orang ramai.
“Saya minta maaf kalau kenyataan saya telah disalah anggap. Maksud saya bukan ditujukan kepada kejadian nahas pesawat tersebut tetapi sekadar berkongsi pengalaman yang pernah saya alami.
“Ketika pesawat ingin berlepas, masih ramai penumpang yang bermain telefon bimbit walaupun sudah diingatkan oleh pramugari,” jelasnya.