Oleh YUN MIKAIL
KOTA KINABALU – Seramai tujuh individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berkaitan pengeluaran sijil kontraktor tanpa perlu melalui pemeriksaan serta proses sah petang semalam.
Antara individu yang ditahan termasuklah seorang penolong pengarah di agensi kerajaan Persekutuan dan tiga orang awam yang bertindak sebagai orang tengah (runner).
Sumber berkata, sindiket terbabit dipercayai sudah beroperasi sejak setahun lalu.
“Sindiket ini mengeluarkan sijil kontraktor seperti sijil pendaftaran untuk kontraktor kerja, Bekalan dan Perkhidmatan Negeri Sabah (Pukonsa), Sijil Pembinaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan sijil taraf bumiputera.
“Pemohon sijil hanya perlu membayar sejumlah wang rasuah antara RM500 hingga RM1500 kepada pegawai kerajaan di agensi berkaitan untuk mempercepatkan pengeluaran semua sijil terbabit tanpa perlu melalui pemeriksaan serta proses yang sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut sumber, seramai empat individu termasuk seorang penolong pengarah di agensi kerajaan serta tiga orang awam yang disyaki menjadi orang tengah (runner) ditahan berkaitan kes itu setakat petang semalam.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan percaya akan ada lagi beberapa tangkapan susulan selepas ini.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut berkaitan siasatan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menasihati supaya mana-mana pihak khususnya kontraktor yang mempunyai maklumat berhubung isu seperti mana yang dinyatakan itu tampil membantu siasatan. – K! ONLINE