fbpx

Runtuhan baharu dikesan di Lojing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi tanah runtuh baharu yang dikesan pada Sabtu lalu di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang.

GUA MUSANG – Satu lokasi baharu kejadian tanah runtuh dikesan di Kilometer 92 Jalan Gua Musang-Lojing di sini awal pagi Sabtu lalu.

Kejadian itu berlaku di bahagian tebing kiri jalan menghala laluan ke Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, bagaimanapun, runtuhan tanah itu tidak serius dan jalan masih boleh dilalui.

Katanya, bagaimanapun, semua pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati kerana laluan di kawasan itu hanya dibuka satu lorong.

“Lokasi kejadian tanah runtuh baharu itu sudah diletakkan kon keselamatan sebagai peringatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Kita berharap pengguna jalan itu tidak memandu laju. Ini kerana, laluan itu bukan sahaja berisiko berlaku tanah runtuh tetapi permukaan jalan yang licin ekoran hujan selain berkabus tebal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kejadian tanah runtuh di Kilometer 92, Jalan Gua Musang-Lojing pada minggu lalu menyebabkan laluan sejauh dua kilometer berlaku kerosakan.

Susulan kejadian itu, jalan terbabit terpaksa ditutup kepada semua kenderaan kerana dipenuhi bongkah batu, sisa kayu dan lumpur.

Mengulas lanjut, menurut Choon Foo, kerja-kerja baik pulih kerosakan jalan itu sedang berjalan dan mengambil masa panjang untuk disiapkan kerana ada juga jalan terputus.

Katanya, satu lorong lagi jalan di situ masih belum dibuka kerana rosak teruk akibat dipenuhi bongkah batu, kayu dan lumpur.

“Tiada halangan lagi buat pengguna jalan yang ingin ke Cameron Highlands atau Ipoh, Perak apabila laluan telah dibuka selorong.

“Kita berharap pengguna berhati-hati memandu di jalan Tanah Tinggi Lojing terutamanya ketika cuaca hujan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI