PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memutuskan pengoperasian institusi pendidikan tinggi (IPT) adalah kekal seperti dimaklumkan sebelum ini biarpun dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan kerajaan, semalam.
Menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini, berdasarkan keputusan sebelum ini, pelajar antarabangsa dibenarkan masuk ke kampus kecuali dari United Kingdom iaitu seawal 1 Januari manakala, pelajar tempatan pula seawal 1 Mac depan.
Menurutnya, semua pelajar yang telah berada di kampus perlu kekal di kampus masing-masing dan mengikuti pembelajaran secara hibrid.
“Bagi pelajar lain, pembelajaran bagi semua program pengajian diteruskan dengan pembelajaran secara dalam talian sehingga tamat PKP. Peperiksaan antarabangsa dan badan profesional adalah dibenarkan dijalankan di kampus.
“Pelajar-pelajar berkeperluan seperti latihan klinikal, peperiksaan profesional, makmal, studio, amali atau akses internet dan seumpamanya adalah dibenarkan,” katanya.
Katanya, surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak IPT bagi membolehkan pelajar yang berkeperluan memohon kebenaran merentas negeri atau daerah untuk pulang ke kampus daripada pihak berkuasa.
Selain itu, KPT menjelaskan, semua aktiviti penyelidikan yang membabitkan kemudahan makmal adalah dibenarkan melalui kebenaran Ketua Jabatan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Jelasnya lagi, pelajar luar kampus yang menjalani aktiviti penyelidikan perlu mendapatkan surat kebenaran keluar masuk kampus dari IPT masing-masing.
Katanya, pelajar boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai tarikh dan jadual kemasukan ke IPT melalui Bilik Gerakan Covid-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/ 6949/ 6623/ 6124 atau melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing.