PARIT – Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori selepas mengelak bangkai babi di Kilometer 5, Jalan Kampung Gajah–Tanjung Tualang berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7.40 pagi itu, mangsa, Jamaludin Abdullah, 29, dari Malim Nawar meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, kejadian berlaku ketika mangsa memandu sendirian dari arah Tanjung Tualang menghala ke Kampung Gajah.
Menurutnya, kemalangan berlaku apabila mangsa dipercayai mengelak bangkai babi di tengah jalan, menyebabkan kereta dipandunya masuk ke laluan bertentangan.
“Ini menyebabkan kereta mangsa bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Barudin, akibat kemalangan tersebut, kereta jenis Proton Wira dipandu mangsa remuk di bahagian sebelah pemandu.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang dekat sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE