PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberikan kelonggaran berdasarkan budi bicara kepada individu yang terkandas untuk pulang ke kediaman masing-masing sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan selewat-lewatnya hingga Jumaat ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya memahami kesulitan yang dialami oleh orang awam dan secara peribadi telah menekankan kepada anggota serta pegawainya agar sentiasa menggunakan budi bicara mengikut keperluan.
“Saya difahamkan ada yang masih berada di negeri lain selepas mengunjungi saudara-mara jadi mungkin mereka terperangkap esok. Hari pertama, kedua dan mungkin sehingga Jumaat ini saya minta petugas SJR agar menggunakan budi bicara agar mereka yang terkandas dibenarkan pulang.
“Ini termasuk mereka yang sudah menempah tiket penerbangan, kita turut benarkan. Perkara ini sudah dibincangkan bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beliau meminta untuk kita lebih menggunakan budi bicara di peringkat awal ini,” katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman hari ini.
Menurut Abdul Hamid, jika ada mana-mana individu yang dikenakan kompaun merasakan tidak bersalah, ia boleh dirujuk semula kepada PDRM supaya perkara tersebut dapat diadili.
“Sebolehnya kami tidak mahu menyusahkan sesiapa dan akan berusaha memudahkan urusan semua pihak,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Abdul Hamid turut menyarankan orang ramai agar membuat permohonan di balai polis terlebih dahulu sekiranya perlu melakukan perjalanan rentas negeri atau daerah bagi mengelakkan sebarang kesulitan.-K! ONLINE