JAKARTA – Lokasi pencarian kotak hitam pesawat Boeing 737-500 Sriwijaya Air yang terhempas Sabtu lalu di kecilkan kepada kawasan seluas 90 meter persegi selepas pasukan penyelamat menerima isyarat daripada alat tersebut hari ini.
Jurucakap agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Yusuf Latif berkata, kotak hitam tersebut dipercayai tertimbus di bawah lapisan lumpur dan bangkai pewasat.
“Pasukan pencari perlu mencari kotak hitam itu dalam lapisan sampah-sarap serta sisa lain di dasar laut dan pencarian bertambah mencabar dengan keadaan lumpur yang mengakibatkan penglihatan terhad.
“Selain itu, kami juga terpaksa berhadapan dengan arus dasar laut yang kuat serta cuaca buruk pada kedalaman kira-kira 23 meter,” katanya.
Yusuf berkata, pihaknya turut menggunakan khidmat kenderaan kawalan jauh untuk membantu pasukan penyelam mencari kotak hitam tersebut.
“Kira-kira 3,600 orang terlibat dalam operasi mencari kotak hitam ini dengan menggunakan beberapa buah bot serta helikopter berhampiran sebuah pulau,” ujarnya. – AFP