ROMPIN – Seorang lelaki maut selepas kereta jenis Perodua Myvii dipandunya bertembung dengan sebuah kereta Proton Iswara di Kilometer 23.5 Jalan Ibam – Rompin di sini semalam.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Azari Miskon berkata, kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu berlaku ketika mangsa yang berumur 32 tahun dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah menghala ke Rompin.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta Perodua MyVi telah masuk ke laluan bertentangan dipercayai gagal memotong kenderaan di hadapannya melanggar secara berhadapan dengan kereta jenis Proton Iswara dari arah Rompin.
“Perlanggaran tersebut menyaksikan kereta dipandu mangsa melintang di tengah-tengah jalan dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, penumpang kereta jenis MyVi dan pemandu kereta jenis Proton Iswara mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki.
Menurut Azari, kes disiasat mengikut Sek. 41(1) APJ 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.
Katanya, pada masa ini pihak polis masih berusaha mengesan saksi kejadian.
Keadaan permukaan jalan dua lorong dua hala. Jalan lurus, garisan putih putus-putus di tengah sebagai pembahagi jalan, bahu jalan kiri dan kanan tidak berturap.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati permukaan jalan licin selepas hujan dan gelap tanpa lampu jalan,” ujarnya. – K! ONLINE